TIGA lagi individu ditahan semalam berhubung siasatan serangan keganasan di London pada hujung minggu lalu yang menyebabkan lapan maut, kata polis Britain.
Dua lelaki ditahan polis dengan bantuan anggota bersenjata di Ilford, timur London, kata polis dalam satu kenyataan.
Suspek berusia 27 tahun ditahan atas tuduhan keganasan sementara seorang lagi berusia 33 tahun kerana tuduhan dadah.
Suspek ketiga yang berusia 29 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan sama. Dia juga ditahan atas kesalahan “disyaki bersedia melakukan aktiviti pengganas”, kata polis.
Polis masih meneruskan pencarian di kawasan perumahan dan perniagaan di Ilford, dalam serbuan terbaru sejak serangan itu.
Tiga penyerang ditembak mati oleh polis pada Sabtu ketika mereka menikam orang ramai di pasar Borough di London, kawasan yang padat dengan bar dan restoran, selepas melanggar pejalan kaki dengan van di London Bridge.
Lapan orang terbunuh dalam serangan itu termasuk seorang warga Perancis di mana mayatnya ditemui dalam sungai Thames pada Selasa, sementara 48 yang lain dimasukkan ke hospital.
Penahanan terbaru itu dibuat sehari sebelum pilihan raya umum Britain, esok selepas kempen politik tercemar akibat serangan di London dan insiden pengebom berani mati di Manchester bulan lalu yang menyebabkan 22 maut. – AFP, 8 Jun, 2017.
Komen