Pakatan, BN gagal majoriti dua pertiga di Selangor


PH-BN memerlukan 38 kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos 2023.

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor menyaksikan Perikatan Nasional menggagalkan usaha gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga di negeri itu.

Pakatan PH-BN berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi 32 kerusi berbanding PN 19 kerusi.

Tinggal lima kerusi lagi untuk diumumkan secara rasmi.

PH-BN memerlukan 38 kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

Selangor adalah satu-satunya negeri di mana pakatan pemerintah penyandang, PH gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Di kawasan lain semua pakatan pemerintah berjaya mengekalkan negeri masing-masing dengan majoriti dua pertiga malah majoriti super.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada 146 daripada 245 calon PN yang menang pada pilihan raya kali ini.

“Ia adalah satu pencapaian yang memberangsangkan kepada PN yang bertanding sebanyak 245 kerusi. Ini bermakna PN memenangi sebanyak 60 peratus kerusi yang ditandingi

“Kejayaan meraih sokongan pengundi Melayu ini menunjukkan PN adalah wadah utama politik Melayu hari ini.

“Umno menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang dipertandingkan. Ini bermakna Umno kehilangan 82% daripada jumlah keseluruhan kerusi,” katanya.

Muhyiddin berkata ini membuktikan penolakan besar-besaran kaum Melayu dan juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik yang rapuh serta perpaduan palsu yang diketuai Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

“Anwar dan Zahid yang mengetuai gabungan ini perlu bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta-merta,” katanya. – 12 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen