Polis terima laporan nama, IC diguna individu lain untuk mengundi


Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi ketiga-tiga kes berkenaan. – Gambar Facebook Polis Kedah, 12 Ogos, 2023.

POLIS menerima tiga laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, setakat ini.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata dua laporan berkenaan diterima di daerah Kulim manakala satu laporan di daerah Kuala Muda.

Beliau berkata dua wanita tidak berpuas hati apabila dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namanya sudah ditanda untuk mengundi menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu.

“Kes lain di Kulim pula melibatkan seorang lelaki yang mendakwa namanya digunakan oleh orang lain untuk mengundi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi ketiga-tiga kes berkenaan. 

Dalam pada itu, Fisol berkata pihaknya juga mengesan satu video tular menerusi media sosial tentang seorang wanita yang tidak berpuas hati apabila petugas SPR membantu suaminya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) menanda kertas undi di pusat mengundi di Pendang.

“Wanita yang merupakan isteri kepada lelaki itu mendakwa petugas SPR menanda pada kertas undi tidak sepertimana yang dikehendaki suaminya. Bagaimanapun, setakat ini, polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian daripada wanita atau petugas SPR yang terlibat,” katanya.

Berkenaan satu lagi video tular berkaitan bas yang didakwa membawa ‘pengundi hantu’ di daerah Kuala Muda, Fisol menjelaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana bas-bas yang ditularkan itu ialah bas yang disewa oleh pihak polis untuk membawa petugas polis di sekitar daerah berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menyewa 34 bas dari Kuala Lumpur dan Kedah untuk membawa petugas-petugas polis yang ditugaskan menjaga keselamatan dan kelancaran proses PRN sepanjang pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Fisol menasihati orang ramai terutamanya penyokong parti politik di Kedah supaya tidak mengadakan sebarang aktiviti konvoi bermula petang ini sehingga malam nanti bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Kalau hendak sambut kemenangan parti politik mereka pun jangan sehingga menyusahkan dan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, polis menerima dua laporan berkaitan nama dan kad pengenalan digunakan individu lain untuk mengundi pada PRN di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar berkata dua wanita terbabit tidak berpuas hati apabila tidak dapat mengundi di Sekolah Menengah Subang Bestari dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh selepas dimaklumkan petugas SPR nama mereka sudah ditandakan mengundi.

Katanya, laporan pertama dibuat pada 1.12 tengah hari oleh seorang guru wanita berusia 53 tahun dan laporan kedua membabitkan seorang suri rumah wanita berusia 44 tahun yang dibuat pada 3.59 petang.

“Kita membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Terdahulu, tular menerusi media sosial seorang wanita mendakwa kad pengenalannya digunakan untuk mengundi di sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh.

Di KUALA TERENGGANU, Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata pihaknya turut menerima lima laporan mengenai pemilih berdaftar tidak dapat mengundi hari ini ekoran nama dan kad pengenalan sudah digunakan individu lain.

Mazli berkata tiga laporan diterima di daerah Kuala Terengganu dan masing-masing satu di Marang dan Setiu.

“Menurut laporan yang diterima, kelima-lima pengadu ini sewaktu membuat semakan pemilih di pusat pengundian mendapati maklumat MyKad mereka sudah digunakan individu lain. Jadi, disebabkan faktor itu mereka tidak boleh mengundi pada hari ini.

“Polis terima arahan untuk buka kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Polis akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Berhubung situasi proses PRN di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu hari ini, Mazli berkata pihaknya berpuas hati dengan proses demokrasi itu yang berjalan lancar sehingga kesemua pusat pengundian ditutup secara rasmi pada 6 petang tadi.

“Untuk pengiraan kertas undi selepas ini, polis sudah bersiap sedia dengan gerak kerja masing-masing dan pasukan pengiring akan mengiringi peti undi supaya selamat sampai ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya. – Bernama, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen