2 maut, 16 hilang dalam kejadian gelongsoran lumpur di China


DUA terbunuh dan 16 lagi masih hilang dalam kejadian gelongsoran lumpur susulan hujan lebat di utara China berhampiran bandar Xi’an, lapor media negara itu hari ini.

China berdepan banjir besar disebabkan hujan luar biasa sejak beberapa minggu lepas, dengan korban kerana rebut di utara negara itu kini mencecah 78 orang pada Jumaat.

“Disebabkan hujan lebat pada jam 6 petang 11 Ogos, wujud pergerakan mendadak banjir kilat dan gelongsoran lumpur,” lapor stesen penyiaran CCTV.

“Pemeriksaan awal setakat ini menemui dua rumah di perkampungan itu dihanyutkan air dan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan dan bekalan tenaga terjejas teruk,” kata laporan.

Empat mangsa yang terperangkap dalam gelongsoran lumpur berjaya diselamatkan, tambah CCTV lagi.

Media negara itu turut melaporkan usaha mencari dan menyelamat di kawasan berkenaan masih diteruskan pada pagi Sabtu kerana 16 orang masih hilang.

Banjir kilat berlaku di perkampungan Weiziping yang terletak di kawasan lembah sempit, dua jam perjalanan dari pusat bandar Xi’an.

Pihak berkuasa pengurusan kecemasan bandar turut memberi amaran yang kawasan itu akan berdepan “beberapa pusingan” ribut pada masa hadapan.

“Ditambah dengan hujan berterusan, gunung dan tanah yang lembap, besar kemungkinan ia akan mewujudkan bencana kedua seperti banjir kilat di pergunungan dan gelongsoran lumpur,” kata kenyataan. – AFP, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen