Polis tidak terima laporan babit isu 3R sepanjang PRN


Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesalahan paling banyak dikesan sepanjang PRN adalah membabitkan khianat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2023.

TIADA sebarang laporan membabitkan isu 3R (Bangsa, Agama dan Raja) yang diterima berlaku di sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dikesan di sepanjang PRN ini adalah membabitkan kesalahan khianat.

“PDRM paling banyak terima laporan khianat seperti kerosakan poster, fitnah, flash mob atau perhimpunan tanpa permit polis.

“Sebanyak 131 kertas siasatan pelbagai kesalahan PRN dibuka di enam negeri dan 1,770 laporan polis diterima sehingga tempoh malam tadi,” katanya dalam sidang media khas selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di Kuala Lumpur, hari ini.

Ayob Khan berkata setakat ini proses pengundian di enam negeri terkawal dan tiada sebarang insiden berlaku.

“Orang ramai diminta keluar mengundi awal hari ini kerana cuaca tidak menentu, selain mengelakkan kesesakan trafik serta diminta mematuhi arahan polis yang bertugas di pusat-pusat pengundian,” katanya.

Ayob Khan berkata untuk penugasan keanggotaan PRN di enam negeri seramai 35,000 bantuan sumber manusia dari luar terlibat membantu kontinjen-kontinjen negeri terbabit dan daripada jumlah itu, 5,226 keanggotaan adalah bertugas di Selangor.

“Selain itu, kami juga telah mengatur gerak team-team Op Cantas di kawasan hotspot yang dikenal pasti berpotensi berlaku kekecohan.

“Setelah kami membuat penilaian pentafsiran awal di tempat-tempat berkenaan (kawasan hotspot) sememangnya perlu diberi perhatian khusus kerana berkemungkinan boleh berlakunya ketegangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata PDRM telah melalui pelbagai pilihan raya seperti pilihan raya umum dan PRN sebelum ini yang dilihat semakin matang.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak khususnya kepada penyokong-penyokong parti politik yang terlibat PRN di enam negeri untuk berfikir secara rasional.

“Saya minta mereka jangan ikut emosi dan kalau ada sebarang pelanggaran undang-undang PDRM akan mengambil tindakan tanpa mengira mana-mana parti politik sama ada parti kerajaan, parti pembangkang mahupun parti bebas,” katanya.

Sementara itu, proses pengundian di beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, setakat ini juga dilaporkan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata seramai 4,333 pegawai dan anggota ditugaskan di pusat mengundi di seluruh negeri itu bagi memastikan kawalan keselamatan serta kelancaran proses mengundi di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan pula berkata polis menggerakkan 15,000 pegawai dan anggota termasuk bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bermula semalam.

Jurucakap Media PRN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, SAC W. Pusphanathan berkata proses mengundi yang berlangsung hari ini di 334 pusat mengundi berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang baik pagi ini.

Katanya setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tidak diingini dan keadaan trafik juga lancar tanpa kesesakan di mana-mana jalan untuk ke pusat mengundi serta pihaknya akan sentiasa memantau keadaanp dari semasa ke semasa. – Bernama, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen