Anwar seru pengundi di 6 negeri keluar awal


Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan pengundi di di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di Bukit Mertajam. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menyeru pengundi yang layak agar keluar awal menunaikan kewajipan mengundi di enam pilihan raya negeri.

“Saya menggesa pengundi untuk menjalankan tugas mereka. Kempen sudah berakhir dan sekarang kita semua perlu bersatu.

“Proses pengundian berjalan aman setakat ini.

“Saya harap semua keluar awal dan jangan bertangguh tanggungjawab untuk membuang undi,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di pusat mengundi SK Seri Penanti.

“Ini adalah pilihan raya negeri, dalam pada itu, kerajaan pusat akan menjalankan tugas seperti biasa mulai esok.

“Kami akan meneruskan kerja kami dan keputusannya akan menentukan kepimpinan kerajaan negeri baharu,” kata Anwar.

Terdahulu beliau tiba pada 9.30 pagi bersama isteri Dr Azizah Wan Ismail.

Beliau antara pengundi awal yang hadir mengundi pagi ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang merupakan calon kerusi DUN Padang Kota, tiba di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Hu Yew Seah di George Town pada 7.55 pagi dan selesai pada 8.15 pagi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Ahmad Said yang bertanding kerusi DUN Kijal, tiba di SK Telok Kalong di Kijal bersama isterinya dan mereka adalah orang pertama mengundi di pusat pengundian itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga tiba awal di Sekolah Kebangsan Rusila, Marang untuk membuang undi bagi kerusi DUN Rhu Rendang.

Di Negeri Sembilan, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang merupakan calon bagi kerusi DUN Rantau tiba di SJKC Chung Hua, Rantau bersama isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin pada 8.30 pagi.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang bertanding di kerusi DUN Sikamat tiba di SMK Haji Mohd Redza, Sikamat pada pukul 8.30 pagi.

Kira-kira 9.67 juta rakyat Malaysia layak mengundi hari ini dalam enam pilihan raya negeri.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan hari ini. 

Pusat mengundi di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 6 petang. – 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen