PM dan isteri selesai mengundi


Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuang undi DUN Permatang Pasir di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di Bukit Mertajam, pada 9.41 pagi ini. – Gambar Facebook, 12 Ogos, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di Bukit Mertajam, pada 9.41 pagi ini.

Anwar yang berkemeja biru dan bersongkok ditemani isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut mengundi di sekolah berkenaan.

Ketibaan mereka pada pukul 9.30 pagi disambut Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin serta Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Assisten Tean Cheng San.

Selepas menunaikan tanggungjawab demokrasi, Anwar dilihat bersalam-salaman dan berkesempatan bergambar dengan pengundi yang hadir di pusat pengundian berkenaan.

Bagi PRN kali ini, kerusi Permatang Pasir menjadi rebutan dalam persaingan satu lawan satu antara penyandangnya Muhammad Faiz Fadzil dari Amanah dan calon Perikatan Nasional (PN) Amir Hamzah Abdul Hashim.

DUN Permatang Pasir adalah satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh, selain Seberang Jaya dan Penanti. – Bernama, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen