Calon, pemimpin ambil kesempatan mengundi awal pagi


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari merangkap calon DUN Sungai Tua tiba di SJKC Selayang Baru, Batu Caves selesai membuang undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Ogos, 2023.

SEBAIK pusat mengundi di enam negeri dibuka, calon-calon bertanding serta pemimpin parti bersemangat dengan hadir awal bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Menariknya ada dalam kalangan mereka bersama-sama beratur dengan pengundi lain seawal 7.30 pagi sementara menunggu pusat-pusat pengundian di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi antara pengundi terawal mengundi di Sekolah Kebangsaaan (SK) Puncak Alam 2 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Selangor dan selesai menunaikan tanggungjawabnya pada 8.02 pagi.

Di utara tanah air, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang juga calon DUN Padang Kota tiba pada 7.55 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hu Yew Seah, George Town dan selesai mengundi pada 8.15 pagi. 

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu yang juga calon DUN Kijal Ahmad Said dan isteri, Norliza Mahmud masing-masing menjadi pengundi pertama dan kedua mengundi di SK Telok Kalong, Kijal, Terengganu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang mengundi di DUN Ru Rendang adalah antara pengundi yang tiba awal di pusat pengundian Sekolah Kebangsan Rusila, Marang. 

Di Negeri Sembilan, timbalan presiden Umno yang juga calon DUN Rantau Mohamad Hasan dan isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin tiba pada 8.30 pagi di SJKC Chung Hua, Rantau untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. 

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang juga calon DUN Sikamat tiba di Pusat Pengundian SMK Haji Mohd Redza, Sikamat, pada 8.30 pagi.

Di Selangor, calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet selesai mengundi 8.10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat bagi DUN Lembah Jaya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari merangkap calon DUN Sungai Tua tiba di SJKC Selayang Baru, Batu Caves pada 8.35 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.

Sementara itu, di Kedah, Pengerusi BN negeri Mahdzir Khalid yang juga calon DUN Pedu mengundi di SK Naka, Kuala Nerang pada 9.45 pagi.

Menteri Besar Kedah yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor pula menunaikan tanggungjawab bersama isteri Jusmalailani Jusoh mengundi di SK Bandar Baru Beris Jaya, Sik pada 11.22 pagi.

Lawan Sanusi di DUN Jeneri dari BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim pula mengundi di SK Padang Chichak pada 9 pagi.

Sementara itu, Pengerusi PH Kedah yang juga calon DUN Alor Mengkudu Mahfuz Omar ketika dihubungi Bernama memaklumkan beliau akan mengundi Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Hutan Kampong, Alor Setar pada 2 petang ini. – Bernama, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen