Aktivis Rusia kritik perang Ukraine dipenjara enam tahun


Alexander Bakhtin seorang aktivis alam sekitar dan pemuzik dituduh berdasarkan tiga hantaran media sosial yang menyalahkan Presiden Rusia Vladimir Putin kerana perang Ukraine. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2023.

RUSIA menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas aktivis Alexander Bakhtin pada Jumaat kerana mengkritik pencerobohan ketenteraan Moscow di Ukraine, kata kumpulan hak asasi dan sekutunya.

Bakhtin, 55, seorang aktivis alam sekitar dan pemuzik, dituduh menyebarkan maklumat salah tentang konflik di Ukraine.

Pendakwaan seperti itu seringkali dikenakan ke atas warga Rusia yang membantah konflik dicetuskan Kremlin sejak Februari 2023.

“Alexander dijatuhi hukuman penjara enam tahun,” kata Andrey Shchetinin, kawannya yang hadir perbicaraan di mahkamah kepada AFP.

Aktivis itu juga dihendaki menjalani penilaian sakit mental secara berkala, tambahnya lai.

Kumpulan hak asasi OVD-Info mengesahkan kes tersebut.

Ibu Bakhtin berusia 79 tahun, Lyudmyla Bakhtina, turut hadir di mahkamah kerana dipanggil menjadi saksi pendakwaan terhadap anaknya sendiri.

Apabila pendakwaan meminta Bakhtin dipenjara lapan tahun, ibunya mula menangis sehingga memaksa hakim menangguhkan bicara, kata Shchetinin.

Dalam perbicaraan terdahulu dihadiri wartawan AFP, Bakhtina memberitahu mahkamah beliau menandatangani keterangannya tanpa membacanya dan tidak tahu beliau boleh menolak untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Bakhtin menghidap penyakit jantung dan paru-paru, kata ibunya lagi.

Pertuduhan ke atasnya berdasarkan tiga hantaran media sosial pada Mac hingga April 2022, di mana beliau menyalahkan Presiden Rusia Vladimir Putin kerana perang Ukraine.

Sekitar 20,000 orang sudah ditahan di Rusia kerana membantah konflik di Ukraine menurut info dikeluarkan OVD-Info. – AFP, 12 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen