Cuaca baik di hampir semua negeri terlibat PRN


CUACA di kebanyakan kawasan di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini dilaporkan cerah dan baik ketika pembukaan pusat pengundian pada 8 pagi ini.

Setakat 7.30 pagi, tinjauan petugas Bernama yang berada di lapangan di enam negeri terlibat PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mendapati cuaca adalah baik.

Cuaca baik mendorong para pengundi di beberapa negeri memilih untuk keluar awal iaitu sebelum pusat pengundian dibuka. 

Turut diadakan hari ini adalah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Lebih 9.67 juta pemilih berdaftar di enam negeri akan keluar mengundi pada PRN kali ini bagi memilih wakil rakyat kawasan masing-masing untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 10 pagi ini di beberapa kawasan di empat negeri termasuk dua negeri terlibat  PRN iaitu Negeri Sembilan dan Selangor.

Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikongsi di laman Facebook pagi ini, kawasan PRN yang terlibat  ialah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan manakala di Selangor ialah Kuala Langat dan Sepang. 

Dua lagi kawasan turut dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Jasin di Melaka selain Tangkak dan Muar di Johor, menurut  kenyataan itu. 

Menurut MetMalaysia amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. 

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut kenyataan itu. – Bernama, 12 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen