Indonesia contohi Malaysia urus pembangunan ekonomi


Presiden Indonesia, Joko Widodo mahu kementerian dan agensi kerajaan berkaitan termasuk pemerintah di kota-kota di Indonesia, mempertingkatkan usaha membangunkan ekonomi selain mengurangkan birokrasi serta memudahkan proses pelaburan luar ke negara itu. – Gambar EPA, 28 Mac, 2018.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo, hari ini, mencontohi kejayaan Malaysia serta beberapa negara lain di Asia Tenggara yang dilihat berjaya menguruskan pembangunan ekonominya dengan lebih baik.     
“Kita ini negara besar, dengan sumber tenaga yang besar (tetapi jumlah) eksport kita kalah dengan Malaysia… kalah  kita,” kata Jokowi.    

Justeru, beliau mahu kementerian dan agensi kerajaan berkaitan termasuk pemerintah di kota-kota di Indonesia, mempertingkatkan usaha membangunkan ekonomi selain mengurangkan birokrasi serta memudahkan proses pelaburan luar ke negara itu.     

“Kalau diterus-teruskan, kita enggak (tidak) mau mengubah seperti apa yang tadi saya sampaikan, maka kita ditinggal lagi sama Laos dan Kamboja,” katanya dipetik media Indonesia hari ini.     
Jokowi berkata, Indonesia yang memiliki sumber tenaga yang ramai seharusnya lebih berdaya maju berbanding negara lain di Asia Tenggara.     

“Cuba lihat Thailand, (berdasarkan data) angka eksport 2016-2017 (ialah) AS$231 miliar (bilion), Malaysia AS$184 miliar, Vietnam AS$160 miliar… kita (Indonesia) AS$145 miliar.      

“Ini fakta, negara sebesar kita ini kalah dengan Thailand yang penduduknya 68 juta, Malaysia 31 juta penduduknya dan Vietnam 92 juta, dengan resource (sumber) yang sangat besar, kita kalah,” katanya di Istana Negara pada Rabu. – Bernama, 28 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen