Gabungan BN, Pakatan tidak beri saingan kepada PAS, kata pemimpin akar umbi


Diyana Ibrahim

Pemimpin akar umbi berkata gabungan BN dan PH di Terengganu dilihat masih sukar untuk memberikan saingan kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2023.

GABUNGAN Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Terengganu dilihat masih sukar untuk memberikan saingan kepada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata pemimpin akar umbi dan pemerhati politik.

Mereka menjangkakan keputusan PRN kali ini akan menyaksikan 10 kerusi sedia ada BN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan berkurangan.

Manakala PH juga tidak akan berjaya menang di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang ditandingi parti itu.

Seorang pemimpin akar umbi yang tidak mahu dinamakan berkata antara sebab BN masih tidak mampu mengalahkan PAS kerana isu dalaman parti itu dan penolakan kepada DAP.

Beliau berkata biarpun isu itu dinafikan kepimpinan atas namun ia sebenarnya berlaku di peringkat bawahan cawangan Umno.

“Isu ahli akar umbi marah dengan presiden Ahmad Zahid Hamidi memang berlaku. Sebab kita yang jaga cawangan ini kerap kali ahli datang luahkan perasaan tidak puas hati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya lagi, majoriti ahli akar umbi yang marah dengan Zahid berpunca daripada kekalahan besar BN pada PRU15.

Kemudiannya mereka mengharapkan berlaku perubahan kepimpinan dalam pemilihan Umno dengan jawatan presiden itu dipertandingkan.

“Tapi ia tidak berlaku sebaliknya Zahid memecat ramai pemimpin Umno lain,” katanya.

Katanya lagi kemarahan akar umbi juga berkait dengan keputusan Zahid untuk menerima DAP.

Beliau berkata bagi akar umbi terutama dari kawasan luar bandar di negeri konservatif itu, mereka begitu menolak DAP yang dilihat anti kepada Islam dan Melayu.

Bagaimanapun katanya akar umbi tidak mempunyai masalah kerjasama dengan PKR  dan Amanah setakat ini.

“Mereka boleh terima PKR, Amanah dalam PH) tapi sangat tidak boleh menerima DAP,” katanya.

Selain faktor kepimpinan Umno pusat, akar umbi juga kecewa dengan masalah kepimpinan di peringkat negeri masih lagi tidak berubah dan dengan cara lama.

Kemarahan itu semakin meluap selepas pengumuman pemilihan senarai calon BN di negeri  yang kebanyakannya ditolak akar umbi

Beliau menganggarkan sebanyak 10% ke 15%  protes daripada akar umbi Umno dalam PRN kali ini, ujarnya.

“Tapi saya tak dapat agak bentuk protes mereka bagaimana adakah akan beralih kepada PAS atau mereka tak akan keluar mengundi,” katanya.

Biarpun begitu beliau berkata sebagai ahli parti masih mengharapkan BN mampu membuat kejutan dalam PRN.

BN sasar 19 kerusi, PAS terdesak ulang pencapaian PRU15

PRN di negeri itu menyaksikan BN dan PAS bersaing secara sengit dimana masing- masing mendakwa mereka boleh mendapat kemenangan.

Bagi Umno mereka yakin dengan sasaran menang majoriti mudah dengan 19 kerusi DUN pada PRN kali ini sekaligus dapat membentuk kerajaan.

Timbalan Pengerusi BN negeri, Nik Dir Nik Wan Ku berkata keyakinan itu berdasarkan kekuatan gabungan antara BN dan PH di negeri itu.

Malah katanya, faktor Terengganu antara negeri yang sering bertukar kerajaan juga menjadi kelebihan buat BN dalam PRN kali ini.

“Kita sangat yakin boleh dapat 19 kerusi iaitu tambahan 9 lagi kerusi daripada 10 kerusi DUN sedia ada yang kita menang sebelum ini.

“Ia tidak mustahil sebab bila kita bergabung dengan PH jadi dicampur dengan undi daripada penyokong mereka jumlah undi kita akan meningkat terutama di kawasan yang BN kalah pada PRU14 dengan perbezaan 500 dan 1000 undi,” katanya.

Di pihak PAS pula, sasaran sapu bersih 32 kerusi DUN tidak sukar dicapai atas faktor pengaruh ‘gelombang hijau’.

Timbalan Pesuruhjaya Pas, Alias Razak berkata kemenangan dalam PRN hampir pasti kepada PAS, jika mengikut keputusan dalam PRU15.

“Insyallah kita akan dapat menang 32 - 0, ini termasuk kerusi Telemung pun kita akan dapat tembus

“Biarpun ada gabungan BN dan PH  jumlah undi mereka masih tidak akan mampu menumbangkan PAS,” katanya.

Kerusi DUN Telemung di bawah Parlimen Hulu Terengganu menjadi satu- satunya kerusi yang gagal ditembusi PAS dalam PRU15.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Yusri Ibrahim berkata hasil kajiannya di lapangan dalam tempoh minggu kedua PRN berlangsung mendapati BN masih sukar mengekalkan 10 kerusi yang dimenangi mereka.

Jelasnya ia berdasarkan corak pola pengundian pada PRU15 dimana undi tidak konsisten adalah daripada pengundi BN.

Bagaimanapun beliau tidak menolak berdasarkan daripada perkembangan politik yang dinamik, segala kemungkinan boleh berlaku biarpun dalam saat- saat terakhir.

“Naratif kempen masih berjalan politik sekarang masih dinamik apa sahaja kemungkinan boleh berlaku walaupun dalam tempoh singkat

“Itu adalah gambaran dalam PRN dimana ia dipengaruhi dengan politik semasa.

Jadi tempoh tiga hari apa sahaja boleh boleh berlaku,” katanya.

Pada PRU14, BN hanya memperoleh 10 kerusi manakala PAS berjaya memenangi 22 kerusi DUN yang menyaksikan pentadbiran kerajaan negeri.

10 kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU14 ialah, Seberang Takir, Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Telemung, Bukit Besi dan Kijal. – 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen