KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membentuk kerajaan negeri.
“Sememangnya untuk kita mencapai sasaran ini, ada beberapa faktor yang perlu berlaku, pertama ialah peratusan keluar mengundi yang tinggi.
“Faktor seterusnya ialah di bawah (gabungan parti dalam) Kerajaan Perpaduan, para pengundi bagi parti PH dan BN saling menyokong setiap calon yang bertanding, demi memastikan kemenangan masing-masing,” katanya kepada pemberita di George Town hari ini.
Beliau ditemui selepas menyertai Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat dengan delegasi dari China yang diketuai oleh Menteri Luar China Wang Yi.
Turut hadir Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Ditanya sama ada pengumuman bekas Timbalan Ketua Menteri II Prof P Ramasamy untuk keluar dari parti DAP akan menjejaskan bilangan pengundi untuk calon parti itu, Chow berkata beliau percaya para penyokong akan melihat kepada gambaran yang lebih besar iaitu untuk mengekalkan parti memerintah di Pulau Pinang.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan. – Bernama, 11 Ogos, 2023.
Komen