Kredibiliti Ahmad Samsuri terbukti, kata PAS Terengganu


Diyana Ibrahim

Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai menteri besar Terengganu pada 10 Mei 2018, selepas keputusan PRU14 menyaksikan PAS menjadi kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2023.

PERWATAKAN penyandang menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar yang dilihat tenang dan tidak bergaduh dengan mana-mana pihak adalah antara sebab pengundi perlu mengekalkan sokongan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Alias Razak.

Beliau berkata kredibiliti Samsuri terbukti apabila pelbagai kejayaan dicapai selama sepanggal mentadbir Terengganu.

“Saya fikir banyak sebab yang munasabah untuk kita semua terus mengekalkan kerajaan negeri sedia ada pada hari ini.

“Kerajaan negeri ditadbir oleh Samsuri, menteri besar kita seorang teknokrat yang profesional.

“Beliau juga seorang yang tenang, tak gopoh dan tak bergaduh dengan sesiapa, dan yang penting dapat menjamin kestabilan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang media hari ini di Kuala Terengganu.

Alias memberikan lima sebab mengapa pengundi perlu terus menyokong PAS di Terengganu.

Selain faktor perwatakan menteri besar, prestasi PAS sepanjang lima tahun mengambil alih kerajaan negeri sangat cemerlang dan mempunyai perancangan jelas membangunkan negeri itu, katanya.

“Antaranya ialah dengan menggariskan hala tuju jangka panjang pembangunan Terengganu sehingga tahun 2030.

“Di bawah pentadbiran PAS, kesemua 20 manifesto dan tawaran yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjaya dilaksanakan.

“Ini menunjukkan sikap amanah yang tinggi dengan janji yang telah dibuat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, kerajaan negeri ditadbir PAS dibarisi pemimpin bersih, bebas rasuah dan salah guna kuasa. 

Katanya, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin mereka yang didakwa atau disabitkan dengan apa-apa salah laku.

“Selain itu kerajaan negeri telah menunjukkan keupayaan untuk memacu prestasi yang tinggi dalam pelbagai segmen sama ada berkaitan pentadbiran, ekonomi dan sosial,” kata Alias.

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Pada PRU14 PAS berjaya memenangi dua pertiga majoriti iaitu dengan jumlah 22 kerusi DUN, sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri. – 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen