Perikatan tidak akan laksana undang-undang menindas, kata calon Subang Jaya


Ravin Palanisamy

Calon Perikatan Nasional di Subang Jaya, Gana Pragasam Sebastian berkata gabungan itu tidak akan menindas hak orang bukan Islam jika menang PRN esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan melaksanakan undang-undang menindas yang akan melanggar hak orang bukan Islam jika gabungan itu memenangi Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, kata calonnya di Subang Jaya, Gana Pragasam Sebastian.

Merujuk kepada larangan semua kedai perjudian dan membendung penjualan arak di Kedah, beliau yang merupakan seorang pelakon dan pelawak berkata PN tidak akan membuat keputusan drastik di Selangor sekiranya menang PRN.

“Selangor adalah kuasa ekonomi dan jika PN menyentuh isu sensitif seperti yang mereka lakukan di Kedah, maka ekonomi akan terjejas.

“Sudah pasti PN tidak akan hanya melaksanakan sebarang peraturan di sini seperti yang dilakukan di Kedah,” kata Gana kepada The Malaysian Insight.

Gana, calon pilihan raya kali pertama akan bertanding menentang penyandang Pakatan Harapan (PH) Michelle Ng Mei Sze dari DAP dan Zayd Shaukat dari Muda.

Gana berkata PN bukanlah gabungan perkauman seperti yang didakwa ramai sambil menambah pemikiran sedemikian perlu diubah.

“Ada 56 kerusi di Selangor dan tidak semua Melayu bertanding. Cina dan India juga bertanding di bawah panji PN. Ada enam calon PN India di Selangor.

“Oleh itu jika kita menang (Subang dan Selangor), sebelum ada sebarang pelaksanaan dasar, perkara itu akan dibincangkan dengan semua Adun,” katanya.

Gana mendesak pengundi untuk memberikan peluang kepada bukan Islam di PN untuk menjadi suara mereka.

“Semua orang mengatakan PN adalah gabungan perkauman, ia akan menutup perniagaan tertentu seperti pub, kedai 4D dan sebagainya… tetapi sebelum berkata semua itu, berikan kami peluang untuk membuktikan apa yang kami boleh lakukan.

“Sebelum kita boleh buat apa-apa, orang sudah menilai dan memberi komen sebegitu.

“Saya melihat ada yang menggunakan ini (ancaman terhadap orang bukan Islam) sebagai alat untuk kempen pilihan raya mereka.

“Beri kami mandat dan jika selepas lima tahun kami gagal menunaikannya, barulah mereka boleh cakap apa yang mereka mahukan,” kata bapa kepada empat anak itu. – 11 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen