Anwar terima kunjungan hormat menteri luar China di Pulau Pinang


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar China Wang Yi di Hotel Eastern and Oriental, di George Town, Pulau Pinang hari ini. – Gambar Facebook Zambry Abd Kadir, 11 Ogos 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar China Wang Yi yang mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.

Wang, yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), dalam kunjungan itu mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar yang berlangsung selama 25 minit dari pukul 3.17 petang di Hotel Eastern and Oriental, di George Town.

Anwar dan Wang kemudiannya turut mengadakan mesyuarat bersama Menteri Luar Zambry Abdul Kadir; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Tiong King Sing; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pertemuan itu menandakan kepentingan hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara, yang menyaksikan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$110.6 bilion (RM488 bilion) pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan berjumlah AS$12.5 bilion (RM55.16 bilion).

Jumlah eksport ke China meningkat 9.4% kepada RM210.62 bilion (AS$47.84 bilion) pada 2022 manakala import dari China menyaksikan peningkatan 20.7% kepada RM276.50 bilion (AS$62.78 bilion) pada tahun yang sama.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun depan, menandakan persahabatan yang lama terjalin dan kerjasama mantap dalam pelbagai sektor. – Bernama, 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen