KIRA-KIRA 2.5 juta pelancong mengunjungi Syria dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus menyaksikan sektor pelancongan negara itu mula pulih selepas 12 tahun dilanda peperangan, kata Menteri Pelancongan Mohammad Rami Radwan Martini.
“Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kira-kira 1.2 juta pelancong dari Arab dan negara lain datang ke Syria, manakala 1.3 juta lagi terdiri warga Syria yang tinggal di luar negara yang melawat Syria,” kata Martini lapor Sputnik.
Beliau berkata lazimnya industri pelancongan di negara yang dilanda peperangan paling terjejas teruk dan yang terakhir pulih.
“Sekatan Barat menghalang banyak syarikat Arab dan asing daripada melabur dalam projek di Syria, khususnya dalam sektor pelancongan,” katanya.
Selain itu, terdapat projek di Syria untuk Rusia melabur dan negara itu ingin menarik pelancong Russia melawat tapak budayanya.
“Di sebalik peperangan dan kemusnahan, terdapat 3,600 hotel, kompleks pelancongan dan restoran beroperasi di Syria.
“Kami membuka projek pelaburan yang direka untuk pelancongan, terutamanya di pantai Tartus, di Latakia, di Damsyik, Aleppo dan Homs,” tambah Martini.
Konflik bersenjata di Syria berlarutan sejak 2011, dengan pelbagai kumpulan pemberontak, termasuk organisasi pengganas bertempur dengan Tentera Syria untuk menggulingkan kerajaan Presiden Bashar Assad.
Sepanjang lebih 12 tahun itu, krisis Syria mengakibatkan kira-kira 15.3 juta menderita dan sangat memerlukan bantuan kemanusiaan, termasuk 5.5 juta pelarian terpaksa melarikan diri ke negara jiran dan 6.8 juta pelarian domestik, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian, Filippo Grandi. – Bernama, 11 Ogos, 2023.
Komen