Paras air sungai naik, lebih 18,000 penduduk di Myanmar pindah


Lebih 18,000 penduduk di Kayin di selatan Myanmar dipindahkan ke pusat perlindungan apabila air sungai melepasi paras bahaya. – Gambar AFP, 11 Ogos, 2023.

LEBIH 18,000 penduduk di Kayin di selatan Myanmar dipindahkan ke pusat perlindungan apabila air sungai melepasi paras bahaya, menurut stesen televisyen MRV.

“Kami membuka tempat perlindungan tambahan susulan banjir di enam perbandaran di Kayin,” lapor stesen itu memetik kenyataan jurucakap kerajaan negeri Kayin, U Saw Khin Maung Myint.

Kini terdapat 11 pusat perlindungan di perbandaran Hpa-an, lapan di Hlaingbwe, masing-masing tujuh di Kyainseikgyi dan Kawkareik, lapan di Myawaddy dan tiga di Hpapun di Negeri Kayin, katanya.

Beliau berkata sungai di Kayin termasuk Sungai Thanlwin, melimpah dan beberapa bahagian jalan utama yang menghubungkan ibu negeri Hpa-an dan Mawlamyine, ibu negeri Mon juga ditenggelami air.

Selain itu, beberapa perkhidmatan kereta api antara Yangon dan Mawlamyine dibatalkan pada Selasa.

Jabatan Meteorologi dan Hidrologi negara itu melaporkan enam sungai di seluruh negara di Asia Tenggara itu melebihi paras bahaya pada petang Rabu.

Jabatan cuaca juga mengeluarkan amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran tebing sungai atau kawasan rendah di Madauk, wilayah Bago, Hpa-an dan Mogaung di Kachin, supaya terus berwaspada terhadap potensi risiko banjir. – Bernama, 11 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen