Itu video lama, ahli DAP kutuk Umno sudah digantung, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata klip video lama itu sengaja disebarkan oleh pihak tertentu bertujuan untuk mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang PRN esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos 2023.

KLIP video tular melibatkan seorang ahli DAP dalam satu majlis makan malam anjuran sebuah cawangan parti itu adalah majlis yang berlangsung Jun lepas dan bukan semasa tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN).

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata individu berkenaan adalah ahli biasa parti itu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan DAP.

Beliau turut mengarahkan supaya status keahlian individu tersebut digantung serta-merta sementara Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan susulan. 

“Pucuk pimpinan DAP mengutuk keras ucapan tersebut yang bersifat provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat. 

“Klip video lama ini sengaja diviralkan oleh pihak tertentu pada waktu kritikal ini bertujuan untuk mematahkan momentum kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” kata Loke dalam perkongsian di laman Facebooknya.

Beliau juga menyeru semua penyokong PH dan BN supaya tidak terpengaruh dengan klip video tersebut yang tidak sama sekali mewakili akhlak dan pendirian DAP.

Tular sejak semalam satu klip video memaparkan individu yang berucap dalam bahasa Mandarin yang didakwa mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Umno. – Bernama, 11 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen