China tarik balik larangan lawatan berkumpulan ke 70 negara


China membenarkan semula lawatan berkumpulan ke pasaran utama di seluruh dunia dengan menambah 70 lagi negara dalam senarai. – Gambar EPA, 11 Ogos, 2023.

SELEPAS bertahun-tahun sekatan berkaitan pandemik, kerajaan China membenarkan penyambungan semula lawatan berkumpulan ke pasaran utama di seluruh dunia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Percutian secara berkumpulan sebagai sebahagian daripada pakej pelancongan dibenarkan sekali lagi, tetapi terhad kepada beberapa negara.

Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada Khamis kini menambah 70 lagi negara dalam senarai seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Jerman dan destinasi popular lain untuk pelancong China.

Lawatan berkumpulan yang teratur menyumbang sebahagian besar daripada perjalanan rakyat China ke seluruh dunia, bermakna ini adalah berita baik untuk sektor pelancongan negara masing-masing.

China mengenakan beberapa langkah keselamatan yang paling ketat dan paling lama di dunia semasa pandemik Covid-19.

Kebanyakan visa digantung. Dalam kes di mana individu dibenarkan memasuki negara itu, mereka terpaksa menjalani kuarantin di sebuah hotel selama beberapa minggu.

Negara itu dibuka semula pada awal Januari. – Bernama, 11 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen