BAGI Saiyidah Izzati Razak Maideen, calon parti Muda bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Shah Alam, tiada yang lebih penting baginya selain membangunkan tempat beliau membesar.
Anak jati Batu Tiga yang lebih mesra dipanggil Cheda Razak itu berkata, sekiranya menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini, beliau berazam mahu memajukan kawasan itu, semaju Kota Anggerik.
“Di Kota Anggerik mereka mempunyai taman yang jauh lebih baik, universiti dan banyak lagi tarikan berbanding yang kita (Batu Tiga) ada. Mengapa Kota Anggerik lebih maju?
“Orang samakan Batu Tiga dengan kawasan B40 yang tak banyak membangun dan sering dilanda banjir. Walaupun berada di Shah Alam, penduduk di sini tidak menerima layanan sama rata seperti mereka di kawasan yang lebih membangun.
“Jadi, isu utama yang perlu ditangani di sini ialah golongan miskin bandar. Sebab itu saya percaya kira-kira 30% anak muda keluar daripada Batu Tiga untuk cari pekerjaan yang lebih baik di kawasan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Cheda yang merupakan seorang peguam dan juga anak jati Batu Tiga. Beliau dibesarkan dan bersekolah di Seksyen 18 Shah Alam.
Beliau juga cukup aktif membantu golongan yang memerlukan dan mempunyai hobi bermain futsal dan bola sepak.
Mengenai penyertaan di dalam Muda, Cheda berkata beliau tidak begitu berminat dengan mana-mana parti politik jadi apa yang menyebabkan beliau menyertai parti berasaskan belia itu adalah kerana kecewa dengan birokrasi.
“Saya percaya perkara itu harus lebih cekap sama ada dalam berurusan dengan mahkamah, perkhidmatan awam atau agensi kerajaan dalam sebarang isu.
“Sebab itu saya menyertai Muda pada 2020 untuk menjadi pemimpin kepada rakyat yang memerlukan.
“Saya tidak mahu menjadi orang yang selalu merungut tetapi tidak melakukan apa-apa mengenainya,” katanya.
Pembangunan isu utama di Batu Tiga
Cheda berkata jika beliau dipilih sebagai Adun, tugas pertamanya ialah membangunkan dasar yang lebih baik dari segi pembangunan kawasan itu.
“Contohnya banjir di Batu Tiga kerana mesti ada rancangan tebatan banjir yang lebih baik.
“Di Kampung Kuantan masih berlaku banjir walaupun kerajaan menjalankan kerja-kerja perparitan.
“Jika kita tidak menangani isu banjir maka sukar untuk mempunyai pembangunan ekonomi di sini.
“Jika saya boleh menyelesaikan isu banjir maka kita akan dapat melihat lebih banyak pembangunan di sini. Semuanya berkaitan,” katanya.
Dilaporkan Sungai Anak Damansara mengalir melalui Batu Tiga menjejaskan mereka yang tinggal di kawasan rendah.
Batu Tiga akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Cheda, bekas menteri pembangunan keluarga dan masyarakat Rina Harun, 50, dari Perikatan Nasional dan seorang profesor madya Danial Al-Rashid, 37 dari Pakatan Harapan.
Rina yang juga ketua Srikandi Bersatu tewas untuk kerusi Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Kerusi Batu Tiga sebelum ini disandang bekas exco Selangor Rodziah Ismail. – 11 Ogos 2023.
Berita penuh di sini.
Komen