Saya akan perjelas keputusan letak jawatan kepada Anwar, kata Ramasamy


K. Kabilan

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy berkata beliau berikrar akan terus menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2023.

BEKAS timbalan ketua menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy berkata beliau bersedia untuk bertemu dan menjelaskan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai keputusannya meletak jawatan daripada DAP hari ini.

“Sudah tentu saya bersedia dan sanggup bertemu perdana menteri dan menjelaskan kepadanya apa yang berlaku.

“Seperti yang beliau katakan, beliau adalah sahabat saya dan saya terus menyokongnya sebagai perdana menteri. Saya akan beritahu beliau apa yang salah dengan DAP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ramasamy memberikan maklum balas terhadap kenyataan Anwar awal hari ini berkenaan penjelasan berhubung peletakan jawatannya daripada DAP.

“Ramasamy sahabat saya dan tentu (beliau) dapatkan pandangan terlebih dulu dan saya faham keadaan itu… yang ada masalah khusus dalam parti,” kata Anwar.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan turut melahirkan harapan agar Ramasamy akan terus berkhidmat kepada rakyat dalam beberapa kapasiti.

“Saya harap beliau dapat mainkan peranan positif dalam membantu kerajaan meneruskan pendekatan madani,” tambahnya.

Ramasamy juga berkata isu beliau adalah dengan DAP dan bukan dengan Anwar atau Pakatan Harapan.

“Saya terus menyokong Anwar dan Pakatan Harapan. Saya tidak menentang mereka. Saya akan menyokong kerajaan perpaduan,” katanya.

Pagi ini Ramasamy mengumumkan beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Ramasamy yang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Perai sejak 2008 adalah antara tujuh penyandang yang digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.

Beliau dijangka berkempen untuk dua calon bebas pada PRN Pulau Pinang akan datang.

Duo, M. Satees dan David Marshel - dikenali sebagai anak didik Ramasamy. Mereka telah keluar dari DAP dan masing-masing bertanding sebagai calon Bebas di Perai dan Bagan Dalam.

DAP adalah sekutu kanan dalam PH yang telah membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dengan Barisan Nasional dan gabungan dari Sabah dan Sarawak. – 10 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen