KERAJAAN Sweden mahu meningkatkan penggunaan tenaga nuklear menjelang tahun 2045, ke arah menuju masa depan yang lebih mesra iklim, kata Menteri Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Romina Pourmokhtari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata peralihan kepada tenaga lebih hijau memerlukan pengeluaran elektrik yang berganda dan tenaga nuklear mesti menyumbang sebahagian besar kepada peningkatan ini.
Menjelang 2045, Sweden akan memerlukan tenaga nuklear yang sekurang-kurangnya setara dengan pengeluaran 10 reaktor baharu konvensional, katanya di Stockholm pada Rabu.
Kerajaan sedang giat berusaha untuk menghapuskan kekangan sedia ada yang menghalang kewujudan loji tenaga nuklear baharu di negara ini.
Tiga loji tenaga nuklear dengan jumlah enam reaktor sedang beroperasi di Sweden, membentuk kira-kira 30% penjanaan elektrik.
Kerajaan konservatif dan parti Demokrat sebelum ini telah menyuarakan persetujuan untuk usaha memperluas kuasa nuklear.
Bagaimanapun, undang-undang alam sekitar setakat ini menetapkan maksimum hanya 10 reaktor nuklear boleh beroperasi di Sweden dan tiada reaktor baharu boleh dibina di luar kemudahan sedia ada di Forsmark, Oskarshamn dan Ringhals.
Pada awal tahun, Perdana Menteri Ulf Kristersson mengumumkan hasrat beliau mahu membenarkan pembinaan loji kuasa nuklear baharu di lebih banyak lokasi.
Kerajaan dijangka membentangkan hala tuju berkaitan usaha itu pada musim luruh, kata Pourmokhtari. – Bernama, 10 Ogos 2023.
Komen