Indonesia, Timor Leste bincang keanggotaan Asean 


SPEAKER Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Puan Maharani dan Pengerusi Parlimen Timor-Leste, Maria Fernanda Lay, membincangkan keanggotaan Timor-Leste dalam Asean pada mesyuarat dua hala pada Selasa, lapor Agensi Berita ANTARA.

Pada mesyuarat yang berlangsung di luar Perhimpunan Agung Parlimen Asean (AIPA) ke-44 di Jakarta, Maharani berharap Timor-Leste dapat memenuhi kriteria keanggotaan penuhnya menjelang Sidang Kemuncak Asean pada September 2023.

Indonesia menggalakkan negara anggota Asean lain supaya menyokong keanggotaan penuh Timor-Leste dalam organisasi itu, katanya.

Maharani turut berharap kerjasama yang lebih intensif dapat dilaksanakan apabila Timor-Leste menjadi anggota rasmi Asean.

Beliau juga menekankan mengenai pentingnya Indonesia dan Timor-Leste merealisasikan Perjanjian Pelaburan Dua Hala, berikutan peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Maharani berkata pelaksanaan perjanjian itu akan mewujudkan iklim pelaburan yang akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dari Indonesia ke Timor-Leste.

Beliau juga menyuarakan harapan agar Parlimen kedua-dua negara dapat menggalakkan kerajaan masing-masing untuk segera mengadakan rundingan mengenai sempadan Indonesia-Timor-Leste.

Menurutnya kerjasama dalam pembangunan Zon Ekonomi Sempadan akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan boleh dipertingkatkan sekiranya isu sempadan dapat diselesaikan.

Sementara itu, timbalan ketua Suruhanjaya IX DPR, Charles Honoris berkata delegasi Timor-Leste meminta sokongan DPR berhubung keanggotaan negara itu dalam Asean.

Beliau berkata Timor-Leste telah menjadi anggota ke-11 Asean, namun keanggotaannya masih belum penuh dan sebagai negara pemerhati, ia tidak boleh mengundi dalam forum Asean termasuk dalam AIPA.

Oleh itu, Timor-Leste mengharapkan negara itu akan diisytihar sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak Asean akan datang bagi membolehkan parlimennya menyertai AIPA, katanya. – Bernama, 10 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen