Calon Pakatan, BN adalah calon saya, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata permuafakatan yang jitu antara PH dan BN membolehkan gabungan itu mengekalkan kepimpinan di peringkat pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

PERMUAFAKATAN yang jitu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membolehkan gabungan itu mengekalkan kepimpinan di peringkat pusat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu dibuktikan apabila beliau selaku Pengerusi PH  dan Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN sama sekali tidak bersikap selektif untuk hanya turun berkempen memenangkan calon masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. 

“Calon PH adalah calon saya. Calon BN adalah calon saya. Saya bersikap begitu. Sebab itu di mana calon PH dan BN bertanding, saya akan turun kempen. Ahmad Zahid pun sama.

“Kami tidak memilih. Kerana kita nak muafakat (antara PH dan BN) betul-betul kuat sebab dengan bersatunya PH dan BN, kita boleh sapu bersih Malaysia ini,” katanya sewaktu berucap dalam siri ceramah di program Jelajah Perpaduan Madani di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Kuala Berang malam ini.

Pada masa sama Anwar sekali lagi sekeras-kerasnya menyangkal sentimen dimainkan pembangkang bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau hari ini adalah kerajaan anti-Islam.

“Dia kata kita DAP. Saya ikut apa? Dia (DAP) ada 40 ahli Parlimen. Cina (pengundi Cina) sokong dia. Kita kerjasama lah dengan dia. Bukan kita ikut dia.

“Saya bos (Perdana Menteri). Ahmad Zahid pula Timbalan Perdana Menteri. Tidak mungkin Umno nak khianat. Bagaimana sekali pun orang kritik, Umno masih pertahankan prinsip Melayu dan Islam,” katanya. – Bernama, 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen