Pemerhati politik ramal PAS terus kuasai Terengganu


Alfian Z.M. Tahir

Banyak usaha lagi perlu dilakukan oleh gabungan PH-BN untuk merampas Terengganu daripada PAS pada PRN kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2023.

PAS yang pernah merampas Terengganu daripada Barisan Nasional (BN), kali ini akan mempertahankan negeri itu daripada gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH), tetapi pemerhati politik tidak menjangkakan sebarang perubahan besar dalam pentadbiran negeri.

Di atas kertas, kerajaan negeri pimpinan PAS itu hampir pasti mengekalkan penggal kedua seperti keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila ia menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen dengan majoriti selesa.

Pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) 2018, PAS menguasai semula Terengganu daripada BN selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN.

Terengganu adalah antara enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya pada Sabtu. Negeri lain adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali meramalkan kali ini, ada peluang setara untuk PN dan PH-BN. Beliau memetik rasa tidak senang di kalangan penduduk tempatan sebagai punca kemenangan PH-BN.

“Rakyat menuntut perubahan dan pembangunan daripada PAS tetapi itu tidak berlaku. Terengganu lebih maju ketika BN memerintah.

“Justeru, penduduk tempatan mahukan perubahan. Bagaimanapun, pengundi luar yang bekerja di negeri lain akan menjadi penentu. Jika mereka juga mahukan perubahan, maka saya rasa PH-BN sama ada akan memenangi beberapa kerusi atau menukar pentadbiran.

“Setakat ini, PN mempunyai kelebihan. Tetapi jika peratusan orang yang pulang mengundi tinggi, peluang untuk mempunyai kerajaan baharu juga tinggi. Menurut perkiraan saya, PAS akan mengekalkan Terengganu tetapi PH-BN akan memenangi beberapa kerusi,” kata Mazlan.

Beliau berkata bagi PH-BN mengambil alih negeri daripada PAS, lebih banyak usaha perlu dilakukan tetapi dengan hanya tinggal beberapa hari lagi, ia mungkin mustahil.

“Tuntutan perubahan memang ada tetapi Anwar Ibrahim (perdana menteri dan pengerusi PH) lebih fokus di Selangor. Beliau dan yang lain perlu lebih kerap turun jika mahukan Terengganu.

“Usaha itu ada tetapi lebih banyak kerja diperlukan. PAS tidak melakukan apa-apa yang signifikan untuk Terengganu dan pembangkang mesti mengambil peluang ini,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula berkata PAS dalam keadaan selesa di negeri itu.

Beliau berkata suasana di Terengganu tidak semeriah negeri lain seperti di Selangor.

“Orang ramai bekerja seperti biasa, ada bendera sahaja tetapi perasaan itu tiada. Ia hambar dan suram. Kempen ini juga hambar dan tiada apa-apa yang menarik berlaku.

“Untuk mengatakan PH-BN boleh memenangi kerusi, kami masih belum mendapat butirannya.”

Tambahnya, calon BN di Terengganu masih mencari formula manakala PH hanya di belakang BN.

“BN masih tercari-cari. Calon-calon tidak begitu aktif atau boleh menyebabkan sebarang perubahan besar.

“Sebagai pemimpin, BN perlahan dan PH hanya mengikut mereka.”

Beliau berkata PH-BN memerlukan sentuhan Anwar untuk meningkatkan momentum di negeri itu.

Anwar, yang juga ahli Parlimen Tambun, dijadual turun padang di Terengganu hari ini (Khamis). – 10 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen