Sarawak tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini


SARAWAK dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Perpaduan di Kuching, pada 16 September ini.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam satu kenyataan memaklumkan sambutan bertemakan “Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” itu bakal dihadiri tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Menteri utiliti dan telekomunikasi Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu, Julaihi Narawi berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan

“Sarawak selalu dirujuk sebagai contoh semangat perpaduan yang begitu baik sekali. Baru-baru ini, slogan ‘Segulai, Sejalai’ dipilih kerana kita sentiasa bersatu padu dan sepakat dalam mempertahankan perpaduan,” katanya dalam kenyataan sama.

Antara persembahan yang bakal diadakan pada hari berkenaan ialah Persembahan Khas: Musical “Segulai, Sejalai” serta persembahan yang menampilkan tiga wilayah dalam negara iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada 7 Jun lalu, Anwar berkata frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara. – Bernama, 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen