Negara di landasan tepat untuk bangunkan ekonomi, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelbagai langkah berkaitan dasar kerajaan kini sedang digerakkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

MALAYSIA kini berada di landasan yang tepat untuk bergerak ke hadapan terutamanya dalam membangunkan ekonomi, kata Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata untuk itu, pelbagai langkah berkaitan dasar kerajaan kini sedang digerakkan.

Beliau menyentuh perkara itu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Stadium Paroi, Seremban semalam yang turut dihadiri pemimpin parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Negara ini mesti diselamatkan daripada pihak yang bicara soal bersih berdegar-degar tapi realitinya jauh bertentangan.

“Kuasa yang diamanahkan mesti ditumpu kepada pemerkasaan hak serta ekonomi rakyat,” kata beliau.

Anwar berkata lantaran itu, rakyat pelbagai kaum mesti berpadu mendukung Kerajaan Perpaduan demi kestabilan dan pemerkasaan ekonomi rakyat.

Program berkenaan yang dibanjiri ribuan penyokong turut dihadiri pemimpin parti dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan. – Bernama, 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen