Hadi dakwa ada parti kerajaan perpaduan mahu sokong PN


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan penuh daripada parti-parti gabungannya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2023.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mendakwa ada parti politik yang bergabung dalam kerajaan perpaduan akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan pusat sekiranya ia menang enam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

Katanya, PAS bukan bercakap kosong apabila mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan penuh daripada parti-parti gabungannya.

Ini termasuk 10 ahli Parlimen Umno yang awalnya menyokong pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu.

“Asal 10 ahli Parlimen Umno ini nak sokong kita, mungkin 15, tapi mereka ini dipaksa, diugut… yang ada kes nak bawa ke mahkamah, menyebabkan orang Umno ini dalam ketakutan.

“Maka ditubuhkan kerajaan perpaduan dalam keadaan kacau bilau. Kerajaan perpaduan tapi balah sama sendiri, yang parti dalam kerajaan bantah kerajaan sendiri.

“Tapi kerajaan ini tak kukuh, jadi kita perlu tarik Sabah dan Sarawak dan tarik ahli Parlimen Umno untuk tukar kerajaan pusat, dan ada yang tunggu PRN enam negeri,” katanya semasa berucap pada program Ceramah Mega PN di Setiu, Terengganu malam tadi.

Abdul Hadi mengulangi kemenangan PN dalam enam pilihan raya negeri Sabtu ini penting demi untuk menukar kerajaan pusat.

Pertukaran kerajaan pusat kesan daripada keputusan pilihan raya negeri Sabtu ini menjadi antara modal utama kempen PN, yang bagaimanapun dikritik oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini berkata kenyataan itu tidak berasas kerana PRN adalah untuk membentuk kerajaan negeri dan bukan kerajaan pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said juga menegaskan tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyebut keputusan PRN akan membawa perubahan kepada pentadbiran kerajaan persekutuan.

Beliau yang memegang portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi mengaku hairan bagaimana perkara itu boleh dibangkitkan dan menggesa pihak berkenaan mengemukakan peruntukan atau undang-undang yang mereka rujuk.–  9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen