Biden tandatangani perjanjian AS-Taiwan mengenai perdagangan abad ke-21


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden memeterai perjanjian perdagangan AS-Taiwan pada 1 Jun. – Gambar EPA, 9 Ogos, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menandatangani undang-undang bagi melaksanakan perjanjian perdagangan AS-Taiwan yang dimeterai pada 1 Jun, lapor Sputnik memetik pengumuman Rumah Putih.

“Pada Isnin, 7 Ogos 2023, Presiden menandatangani undang-undang: H.R. 4004, ‘Inisiatif Amerika Syarikat-Taiwan, Akta Pelaksanaan Perjanjian Pertama Perdagangan Abad Ke-21,’ yang meluluskan perjanjian perdagangan 1 Jun 2023 antara AS dan Taiwan, di bawah naungan Institut Amerika di Taiwan dan Pejabat Perwakilan Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di AS,” menurut kenyataan media Rumah Putih. 

Jawatankuasa Cara dan Kaedah Dewan AS dalam kenyataan menyebut bahawa perjanjian itu menetapkan peraturan dalam lima bidang perdagangan dua hala yang meliputi pentadbiran kastam dan kemudahan perdagangan, amalan kawal selia yang baik, kawal selia perkhidmatan, antirasuah, dan perniagaan kecil dan sederhana.

Taiwan kini ialah rakan dagangan kesembilan terbesar AS, dengan nilai dagangan sebanyak AS$90.6 bilion pada 2020, menurut data Pejabat Perwakilan Dagangan AS.

Pada Isnin Biden berkata beberapa syarat perjanjian perdagangan AS-Taiwan yang baru dilaksanakan itu sebagai tidak mengikat sekiranya ia melanggar kuasanya untuk berunding dengan rakan asing. – Bernama, 9 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen