KUWAIT kini bersedia mengambil kira-kira 2,000 kakitangan perubatan ekspatriat untuk bertugas di hospital dan klinik baharu di negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan akhbar harian Kuwait Times pada Selasa.
Laporan Kuwait Times, yang memetik kenyataan sumber, menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Kuwait (MoH) telah mengeluarkan satu memorandum berhubung perkara itu.
Sumber itu berkata satu memorandum telah dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Kuwait (CSC) untuk kelulusan.
Memorandum itu menyatakan bahawa MoH memerlukan lebih 500 doktor, lebih 1,500 jururawat, juruteknik radiologi serta kakitangan perubatan sokongan dari India, Filipina dan negara Asia lain.
Menurut sumber itu, MoH telah mula menamatkan perkhidmatan ekspatriat di bahagian pentadbiran serta menggantikan mereka dengan rakyat Kuwait, dan membiarkan hanya beberapa jawatan diisi oleh ekspatriat.
Sumber itu juga berkata semua jawatan dijangka diisi oleh rakyat Kuwait dalam tempoh dua tahun.
MoH telah memaklumkan CSC bahawa graduan Kuwait memerlukan masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk memenuhi keperluan dalam bidang perubatan dan kejururawatan. – Bernama, 28 Mac, 2018.
Komen