Ketua pendakwa kes Zahid mohon bersara awal, kata peguam negara


Ahmad Zahid Hamidi diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2023.

TIMBALAN Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran tidak lagi mengetuai pasukan pendakwaan kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kerana akan bersara awal.

Peguam Negara Idrus Harun berkata keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dengan membuat pertimbangan yang teliti.

“Raja Rozela mengemukakan permohonan untuk bersara awal pada 3 April 2023. Permohonan itu diluluskan dan akan berkuat kuasa pada 1 Nov 2023. Selanjutnya, Raja Rozela memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Idrus, Mohd Dusuki Mokhtar dipilih sebagai ketua pasukan pendakwaan yang baharu dalam kes Zahid berdasarkan pengalaman luas beliau hampir 30 tahun sebagai seorang timbalan pendakwa raya. 

Beliau berkata Dusuki ketika ini merupakan ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara yang mengendalikan kes-kes Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan serta kes-kes berprofil tinggi, termasuk kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Idrus berkata memandangkan kes melibatkan Zahid masih berlangsung dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sehingga Disember 2023, maka seorang ketua pasukan yang baharu perlu dilantik dari sekarang bagi memastikan kesinambungan kes.

“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid tidak terjejas selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa peguam negara yang diperuntukkan di bawah Fasal 3 Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kenyataan peguam negara itu susulan daripada laporan media berkenaan Raja Rozela, ketua pasukan pendakwaan yang digantikan dengan Dusuki semasa perbicaraan kes itu pada 1 Ogos lepas di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Zahid, 70, diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Beliau selesai memberi keterangan pada 30 Ogos tahun lepas setelah 17 hari membela diri secara bersumpah dari tempat saksi dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya. – Bernama, 8 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen