Menteri saran tangguh seketika kempen PRN jika ada gejala Covid-19


Semua pihak terlibat pada pilihan raya perlu mengamalkan SOP bagi mengelakkan jangkitan silang yang akan menyumbang kepada kenaikan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2023.

CALON dan jentera parti dinasihatkan menangguhkan seketika kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) jika dikesan mengalami gejala Covid-19 bagi mengekang penularan jangkitannya dalam komuniti.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata semua pihak terlibat pada pilihan raya kali ini perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan silang (cross infections) yang akan menyumbang kepada kenaikan kes Covid-19. 

“Walaupun tiada SOP yang terperinci untuk penjagaan Covid-19 pada PRN ini kerana wabak itu menunjukkan penurunan dan bukan lagi kecemasan kesihatan global seperti yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun kes masih ada walaupun sangat rendah. 

“Sehubungan itu orang ramai diminta berjaga-jaga sekiranya ada simptom, pakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri, itu prosedur yang amat digalakkan,” katanya ketika ditemui semasa program Ziarah Kasih di sekitar Kampung Pachitan, di Port Dickson, hari ini. 

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan SOP bagi pesakit Covid-19 untuk hari pengundian pada Sabtu ini. 

SPR menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang, serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian Sabtu ini. – Bernama, 8 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen