MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi Md Nor kerana mendakwa beliau terbabit dalam satu urus niaga yang mencurigakan berhubung dengan projek pembangunan sungai.
Amirudin berkata pemimpin PAS Kedah itu dijangka menerima surat daripada peguamnya pada Khamis.
“Kita dapat lihat beberapa hari lalu sebelum pilihan raya negeri, ada pihak tertentu memfitnah dan mengitar semula isu yang sudah dijawab dalam dewan undangan negeri (DUN) Selangor. Contohnya, SMG (Gerbang Maritim Selangor). Ia sudah dijawab dua kali di sidang DUN.
“Ini menunjukkan betapa terdesaknya PN untuk mencipta pembohongan dan dakwaan tidak berasas,” katanya di Gombak hari ini.
Gerbang Maritim Selangor adalah projek bernilai RM700 juta membabitkan kerja meluaskan dan mendalamkan Sungai Klang dari Mid Valley di Kuala Lumpur hingga Pelabuhan Klang.
Pada Jumaat, Amirudin menafikan semua tuduhan dibuat Sanusi pada satu ceramah Perikatan Nasional (PN) di Dataran Darul Aman.
Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila mendakwa seorang ahli perniagaan iaitu kroni kepada Amirudin memperoleh tanah seluas 600 ekar atau 243 hektar secara percuma.
Semalam, pengasas Berjaya Group Vincent Tan mengeluarkan surat tuntutan menggesa Sanusi membuat permohonan maaf dan membayar ganti rugi RM200 atas dakwaan itu. – 8 Ogos, 2023.
Komen