Cuaca panas melampau, kontinjen pengakap Malaysia di Seoul selamat


Menurut laporan antarabangsa, beratus-ratus pengakap yang menyertai acara 25th World Scout Jamboree di Saemangeum jatuh sakit, ekoran cuaca panas mencecah 35 darjah Celcius. – Gambar AFP, 7 Ogos, 2023.

SEMUA 499 ahli kontinjen Malaysia terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan yang menyertai “25th World Scout Jamboree” bermula 1 hingga 12 Ogos di Seoul, Korea Selatan dilaporkan berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum.

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini.

“Menurut laporan awal, empat daripada kontinjen Malaysia mengalami masalah kesihatan seperti pening kepala, demam serta ruam. Mereka dilaporkan mendapat rawatan yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus berhubung rapat dengan wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur untuk mendapatkan perkembangan semasa.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Seoul di alamat berikut; Kedutaan Besar Malaysia di Seoul - 129, Dokseodang-ro (Hannam-dong) Yongsan-gu, Seoul 04419 atau talian telefon (+822 2077-8600) dan alamat email ([email protected]).

Menurut laporan antarabangsa, beratus-ratus pengakap yang menyertai acara itu jatuh sakit, ekoran cuaca panas mencecah 35 darjah Celcius (95F).

Persatuan Pengakap mengesahkan kontijen Britain seramai 4,500 sedang dipindahkan dari tapak perkhemahan di Saemangeum ke Seoul.

Pasukan Amerika Syarikat dan Singapura juga bertindak mengosongkan tapak berkenaan. – Bernama, 7 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen