Peguam bidas Anwar pertahan kuota pelajar Bumiputera di universiti


Pengarah LFL Zaid Malek berkata mereka terkejut apabila Anwar, yang mendakwa dirinya seorang reformis, menyentuh tentang kontrak sosial ketika bercakap tentang akses pendidikan tinggi yang saksama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2023.

KUMPULAN peguam berkata kebergantungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap kontrak sosial untuk menjustifikasikan kuota universiti adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Lawyers for Liberty (LFL) berkata langkah itu hanya akan mengukuhkan lagi idea salah faham tentang “ketuanan Melayu”.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata mereka terkejut apabila Anwar, yang mendakwa dirinya seorang reformis, menyentuh tentang “kontrak sosial” ketika bercakap dengan akses kepada pendidikan tinggi yang saksama.

“Kiasan kepada kontrak sosial untuk mempertahankan kuota Bumitera dalam pendidikan tinggi adalah alasan mempertahankan konsep ketuanan Melayu sebagai sebahagian daripada dasar negara.

“Alasan kontrak sosial sering digunakan di Malaysia oleh nasionalis kaum, khususnya Umno, untuk menegaskan dominan Melayu terhadap kaum lain,” katanya.

Pada 8 Julai, Anwar berkata sistem kuota untuk pelajar Bumiputera dalam pendidikan perlu dikekalkan untuk mengimbangi jumlah pelajar daripada komuniti dalam institusi pengajian tinggi (IPT).

Anwar berkata jika sistem itu tidka dikekalkan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan jumlah Melayu – yang membentuk majoriti Bumiputera – di IPT, terutama dalam bidang jurusan tertentu.

Free Malaysia Today pada Sabtu melaporkan Anwar berkata Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan kalah semua pilihan raya pada masa depan jika kerajaan perpaduan memansuhkan kuota Bumiputera di IPT.

Beliau berkata gesaan untuk sistem itu dihapuskan akan mencetuskan kekecohan dalam negara, menambah sejarah Malaysia dan kontrak sosial perlu diambil kira berhubung kuota Bumiputera itu.

Zaid berkata ia konsep yang membinasakan dan tidak sepatutnya diguna pakai oleh perdana menteri yang mengetuai PH di mana ia sepatutnya adalah gabungan politik reformasi.

“Anwar yang mengetuai kerajaan reformis, perlu menolak konsep dan bahasa ketuanan Melayu, contohnya kontrak sosial.

“Perubahan tidak mudah, tetapi ia perubahan yang diberikan kepada kerajaan dan mereka tidak patut mengabaikannya demi mengekalkan kuasa.”

Zaid merujuk kepada dialog Anwar bersama pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang pada 5 Ogos. – 7 Ogos, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen