BN guna strategi 'kekal dan rampas', kata Tok Mat


Mohamad Hasan sudah turun berkempen untuk bertemu pengundi di DUN Rantau sejak semalam selepas berehat disebabkan jangkitan influenza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2023.

BARISAN Nasional (BN) akan menggunakan strategi ‘kekal dan rampas’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini, dalam usaha memastikan kerajaan perpaduan dapat menguasai negeri itu.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata mengambil kira ‘mood’ pengundi ketika ini, selain situasi pilihan raya itu sendiri yang berubah-ubah, beliau optimis gabungan BN-PH mampu mengekalkan kemenangan di tiga negeri - Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang - serta merampas Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Mana tahu boleh jadi untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Setiap pilihan raya berbeza-beza… yang penting kita cuba dan pastikan rakyat dapat menerima dan memberi peluang kepada kita mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian selepas majlis pemimpin bersama masyarakat di Kuala Sawah, Seremban hari ini.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN, sebelum ini dilaporkan berehat selama tiga hari selepas dijangkiti virus influenza, namun mula turun padang berkempen untuk berjumpa pengundi kawasannya sejak semalam.

Sementara itu mengulas sokongan dan reaksi daripada masyarakat terhadap kempen yang dilakukan oleh gabungan BN-PH sepanjang sembilan hari ini, Mohamad menyifatkannya amat baik dan berharap pengundi rasional dalam membuat keputusan, serta tidak terpengaruh dengan sentimen berkait perkauman serta agama.

“Jangan ikut sentimen kerana ia memang mudah dipengaruhi, terutamanya berkenaan kaum dan agama. Kesannya amat berbahaya kepada negara berbilang kaum ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama, 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen