PRN: Polis Kelantan buka 4 kertas siasatan


POLIS Kelantan membuka empat kertas siasatan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN), sepanjang kempen PRN hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, ia termasuk kes khianat yang membabitkan perbuatan merosakkan poster pilihan raya, fitnah, mengaibkan calon menerusi Facebook dan merosakkan ‘billboard’.

Katanya dua catatan di Facebook yang dikatakan mengaibkan calon, menyaksikan catatan yang menuduh seorang calon tidak menunaikan solat Jumaat dan satu lagi catatan mengenai calon yang singgah minum kopi di sebuah kedai kopi sebelum menyampaikan sumbangan ‘1K’.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Muhamad Zaki berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 10(a) Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. – Bernama, 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen