KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi membantu kaum wanita keluar dari kepompong kemiskinan menerusi program Wanita Bangkit.
Menterinya Nancy Shukri berkata seramai 6,651 peserta yang terjejas sumber pendapatan menyertai program itu sejak dilaksanakan Januari lalu.
“Melalui program ini, peserta akan diberikan bimbingan dan bantuan tunai berjumlah RM500 yang akan dimasukkan ke akaun masing-masing sebagai modal permulaan untuk memulakan peniagaan.
“Selepas tiga bulan, peserta akan dipantau oleh pihak sukarelawan bagi melihat perkembangan semasa peserta selain melihat keberkesanan program tersebut dalam membantu peserta menambah sumber pendapatan dari perniagaan yang dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis Program keusahawan Wanita Bangkit di Kuching, hari ini.
Nancy berkata di Sarawak, sebanyak 11 program sedemikian dianjurkan dengan 4,823 peserta terlibat.
“Selepas ini, program Wanita Bangkit akan dianjurkan di Limbang. Kita mahu semua wanita berjaya, yakin dan terus berusaha untuk memajukan diri keluarga, bangsa dan negara,” katanya. – Bernama, 6 Ogos, 2023.
Komen