Bukan masa untuk eksperimen undi, kata Amirudin


Amirudin Shari akan ditentang Muhammad Hanif Jamaluddin (PN) dan Suman Gopal (Bebas) pada pilihan raya negeri DUN Sungai Tua Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2023.

JANGAN bereksperimen dengan undi anda dengan mengundi kerajaan baharu, kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari kepada pengundi negeri itu hari ini.

Menteri besar sementara Selangor itu berkata, negeri itu memerlukan kesinambungan dan kestabilan untuk maju.

Selangor berada di bawah pentadbiran PH sejak 2008. Kali ini PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi gabungan Perikatan Nasional (PN) dan segelintir parti kecil lain seperti PSM dan Muda.

“Selangor perlukan kestabilan untuk kemakmuran berterusan. Pengundi harus memilih mereka yang sudah terbukti menjalankan tanggungjawab dengan dedikasi.

“Kita tidak boleh buat eksperimen. Kalau kita buat eksperimen (dalam pilihan raya negeri), ia akan mengganggu dan menjejaskan (ekonomi) kerana kita adalah nadi ekonomi negara ini.

“Kepada pengundi di Selangor, tunaikan tanggungjawab anda kerana kita perlukan kesinambungan untuk lima tahun akan datang,” katanya semasa program “Soal Rakyat” di TV3.

Penduduk dan warga Selangor, Kelantan, Kedah, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan keluar mengundi Sabtu ini.

Amirudin juga memberitahu pengundi supaya tidak mengundi berdasarkan perasaan marah atau benci, sambil menambah gabungan PH-BN akan melonjakkan Selangor kerana BN mempunyai pengalaman membangunkan negara.

“Kami (akan) laksanakan pentadbiran yang telus, amanah dan penuh integriti. Kami (pentadbiran) juga akan mengamalkan pendekatan sederhana dalam usaha membangunkan Selangor.

“Kami juga memperkukuh pendidikan rakyat, latihan kemahiran dan kehidupan lestari.

“Melalui inisiatif Penyayang Iltizam Selangor, kami cuba menjadikan Selangor sebagai negeri idaman untuk didiami semua… Inilah yang boleh dicapai oleh negeri ini,” katanya.

PH menamakan beliau sebagai calon menteri besar jika mereka mengekalkan negeri itu. – 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen