Pakej talian pascabayar penjawat awam diumum esok, kata menteri


Fahmi Fadzil dilaporkan berkata harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2023.

KERAJAAN akan mengumumkan pakej talian pascabayar khusus untuk penjawat awam esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pakej istimewa itu ditawar susulan rungutan petugas barisan hadapan di lapangan berkaitan harga langganan talian pascabayar ketika ini.

“Insya-Allah esok ada sedikit pengumuman khusus untuk penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Merdeka@Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di balai raya Taman Desa Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor hari ini.

Bagi petugas media pula, Fahmi berkata perbincangan mengenai pakej talian pascabayar akan dibuat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi esok dan keputusannya akan diumumkan kemudian.

“Insya-Allah saya akan bangkitkan (untuk petugas media), kita tengok sama ada mereka (telco) setuju atau tidak,” katanya sambil menambah banyak lagi pengumuman baik akan dibuat melalui usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Fahmi berkata, usaha KKD tidak akan terhenti dalam mengurangkan beban pengguna talian perkhidmatan telekomunikasi malah akan dipergiatkan setiap masa bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menikmati kualiti perkhidmatan lebih baik dengan kadar harga berpatutan.

“Insya-Allah selepas kita melaksanakan standard mandatori mengenai harga capaian (MSAP), harga Internet akan berkurangan,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Fahmi dilaporkan berkata harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai.

Pada 11 Julai lalu, MCMC berkata pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.

MCMC memaklumkan buat masa ini, kebanyakan pembekal akses sudah atau sedang dalam proses penerbitan tawaran akses rujukan (RAO). – Bernama, 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen