Zhanna D'art meninggal akibat masalah jantung, kata Polis Perlis


Menurut rakan dan keluarnya, pempengaruh berusia 39 tahun itu mengamalkan diet buah-buahan ketat termasuk yang eksotik. – Gambar Instagram Zhanna, 6 Ogos, 2023.

PEMPENGARUH vegan dari Rusia Zhanna Samsonova yang dikenali sebagai Zhanna D’art meninggal dunia di Perlis akibat masalah kesihatan, kata Polis Perlis.

Sebelum ini, dia dilaporkan meninggal dunia akibat ‘kebuluran’ di negara ini semasa jelajahnya ke Asia Tenggara.

Ketua Polis Perlis Surina Saad berkata tiada unsur unsur jenayah dalam kematiannya.

“Hasil pemeriksaan bedah siasat mengesahkan kematian pelancong Rusia itu berpunca daripada masalah berkaitan jantung dan kes ini tidak melibatkan unsur jenayah atau penderaan.

“Berdasarkan siasatan kami, dia tiba di Perlis beberapa hari sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk rawatan selepas mengadu mengalami masalah kesihatan,” katanya lapor New Straits Times, hari ini.

Surina berkata Samsonova memutuskan untuk tidak meneruskan pemantauan kesihatannya di hospital.

“Dia juga sudah menandatangani pelepasan dari hospital untuk pulang ke negara asalnya.

“Bagaimanapun, selepas keluar dari Wad Kecemasan HTF mangsa duduk di ruang menunggu hospital dan meninggal dunia,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk prosedur bedah siasat.

“Berdasarkan bedah siasat yang dijalankan, doktor mengesahkan mangsa mempunyai masalah kesihatan membabitkan jantung dan didapati mengalami masalah kesihatan sedia ada.

“Bagi kes ini, kami mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut atau SDR dan kami sedang bekerjasama dengan Interpol untuk mengesan warisnya bagi proses penghantaran pulang mayat mangsa ke negara asalnya,” katanya.

Menurut rakan dan keluarnya, pempengaruh berusia 39 tahun itu mengamalkan diet buah-buahan eksotik yang ketat.

Samsonova dilaporkan meninggal dunia pada 21 Julai selepas mendapatkan rawatan perubatan. – 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen