Calon Pakatan di Machang Bubuk tak sedarkan diri, semua aktiviti batal


Calon Pakatan Harapan untuk Machang Bubuk, Lee Khai Loon ditemukan tidak sedarkan diri di pejabatnya. – Gambar Facebook Lee Khai Loon, 6 Ogos, 2023.

LEE Khai Loon, calon Pakatan Harapan untuk kerusi Machang Bubuk ditemukan tidak sedarkan diri di pejabatnya hari ini, kata pegawainya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pegawainya berkata disebabkan itu semua aktiviti kempen hari ini dibatalkan.

Bagaimanapun tiada penjelasan situasi terkini diberikan.

“YB Khai Loon tak sedarkan diri, semua program hari ini dibatalkan. Harap maaf,” tulis pegawainya di Facebook.

Sementara itu, calon PH untuk Pantai Jerejak Fahmi Zainol yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Kepimpinan PKR, di Twitter berkata Lee mungkin terlalu letih atau tidak sihat kerana cuaca tidak menentu.

Lee yang juga daripada PKR, pertama kali menang di Machang Bubuk pada 2013 dan mempertahankan kerusinya pada 2018.

Pada PRN kali ini, beliau dicabar calon Perikatan Nasional Tan Hum Wei dalam pertandingan satu lawan satu.

Akhbar bahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh yang memetik kenyataan pembantu Lee berkata beliau tidak sihat sejak beberapa hari lepas dan mengalami pening kepala hari ini.

“Beliau sudah sedar tetapi keadaan fizikalnya sedang dipantau,” kata pembantu itu. – 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen