Saya mahu bimbing pemimpin baru Pulau Pinang, kata Guan Eng


Lim Guan Eng mempertahankan kerusi DUN Air Putih, Pulau Pinang pada PRN kali ini walaupun beberapa veteran parti itu tidak lagi dicalonkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2023.

PENGERUSI DAP Lim Guan Eng mahu memastikan wujud asas kukuh bagi bakal pemimpin akan datang parti itu di Pulau Pinang.

Beliau juga mahu memastikan wujudnya pelan peralihan kuasa yang baik bagi menggantikan Chow Kon Yeow sebagai ketua menteri.

Disebabkan itulah beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, katanya kepada portal Free Malaysia Today hari ini.

Lim adalah calon DAP untuk DUN Air Putih, kerusi yang dipegangnya sejak 2008. Ahli parti itu baru-baru ini mempersoalkan pencalonan Lim sedangkan beberapa orang veteran parti itu tidak dicalonkan.

“Saya rasa peranan saya lebih kepada mengukuhkan asas kepimpinan, penggantian pemimpin dan peralihan. Bagi setiap pemimpin, sangat penting ada perancangan untuk pengganti. Jika tidak, anda akan gagal.

“Selepas Chow Kon Yeow, akan ada ketua menteri baharu, jadi mesti sediakan asas untuk penggantinya.

“Ini tidak boleh dijayakan seorang diri, mesti ada satu pasukan,” katanya dipetik FMT.

Tambahnya lagi usaha berkumpulan diperlukan bagi mengangkat matlamat DAP ke peringkat lebih tinggi dan pasukan baru di Pulau Pinang memerlukan masa untuk bersatu, belajar serta menimba pengalaman.

“Pulau Pinang ‘permata’ DAP. Kami mahukan pasukan terbaik yang kami ada untuk peringkat seterusnya, dan generasi pemimpin seterusnya di Pulau Pinang,” katanya.

Menurut Lim lagi inilah sebabnya Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming dan Ching Chieng Jen mempertahankan kemandirian politik mereka di Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, bagaimanapun beliau tidak akan menerima tawaran menjadi exco Kerajaan negeri jika Pakatan Harapan berjaya mempertahankan Pulau Pinang.

Sebaliknya beliau mahu menumpukan masa menjadi jurulatih politik kepada pemimpin generasi Baharu.

Sejak tiga penggal lepas, Lim menang kerusi DUN Air Putih dengan marjin selesa.

Pada PRN kali ini, beliau berdepan cabaran bekas ahli DAP, Teh Yee Cheu (PRM) dan Ivan Koh daripada Perikatan Nasional.

DUN Air Putih mempunyai 15,371 pengundi, bertambah 1,900 berbanding pada 2018 disebabkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Air Putih adalah kawasan majoriti Cina (80%), Melayu (9.8%) dan 8.7% (India). – 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen