Erdogan doakan kejayaan kita dalam PRN, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bermesyuarat bersama Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan semalam. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 6 Ogos, 2023.

PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan mendoakan kejayaan gabungan politik diterajui Anwar Ibrahim untuk menang enam pilihan raya negeri, kata perdana menteri hari ini.

Anwar dalam hantaran di Facebooknya pagi ini berkata Erdogan berbuat demikian ketika pertemuan mereka secara maya semalam.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Luar Zambry Kadir.

“Sebelum kami memulakan perbincangan, Presiden Erdogan sempat mendoakan kejayaan gabungan perpaduan dalam Pilihan Raya di 6 Negeri di Malaysia,” katanya.

Gabungan politik dipimpin Anwar, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran hebat Perikatan Nasional.

Buat masa sekarang, PH mengawal 3 daripada negeri yang mengadakan pilihan raya itu, bakinya pula diterajui PN.

Tambah Anwar lagi, Erdogan turut memberikan komitmen untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua negara.

“Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memenuhi undangan saya untuk memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

“Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan.

“Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.

“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).

“Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023,” katanya.

Menurut Anwar lagi mereka juga ada berbincang mengenai kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Kami turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini,” katanya menambah yang Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman kerjasama pertahanan dalam masa terdekat. – 6 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen