Rafizi dakwa sokongan terhadap Pakatan-BN di Kedah, Kelantan meningkat


Timbalan Presiden PKR itu berkata berdasarkan momentum kempen dan dapatan kaji selidik yang dibuat setiap minggu,

TERDAPAT peningkatan sokongan pengundi Melayu di Kedah dan Kelantan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas seminggu kempen pilihan raya negeri (PRN) berlangsung, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR itu berkata dalam tempoh tujuh hari pertama kempen, sokongan Melayu terhadap gabungan kerajaan perpaduan secara purata di Kedah meningkat sebanyak 7%, dan mendakwa setakat ini lapan kerusi berada di dalam tangan mereka.

“Jika kita teruskan momentum daripada minggu pertama ini, saya tak kata kita boleh menang tapi yang diuar-uarkan oleh Perikatan Nasional (PN) mereka akan menang besar sampai 36-0 (di Kedah), saya tak nampak itu akan berlaku malah sebenarnya ia jauh lebih sengit daripada yang disebutkan,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Madani di Sungai Petani hari ini.

Beliau berkata situasi serupa turut berlaku di Kelantan di mana sokongan kepada Umno mencecah tahap 46% setakat minggu pertama kempen manakala PH pula menyaksikan peningkatan sokongan daripada 10% kepada 35%.

“Ini bermaksud dalam tempoh enam bulan, sokongan Melayu di Kelantan kepada PH telah meningkat tiga kali ganda dan sudah hampir sama dengan sokongan Melayu di Kedah sedangkan selama ini PH bertanding di Kelantan hilang deposit.

“Jadi sama ada ia mencukupi untuk lepasi 50%, saya rasa ada kerusi yang BN bertanding akan lepasi 50%. Ada juga satu kerusi yang saya ingat PH ada harapan untuk menang dan ada kerusi yang sebelum ini kubu kuat PAS, kalau kita kalahpun kita kalah dalam margin 10% sahaja,” katanya.

Rafizi berkata berdasarkan momentum kempen dan dapatan kaji selidik yang dibuat setiap minggu, PH berada di depan serta bakal menang selesa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, justeru dakwaan PN kononnya kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan Melayu adalah tidak benar sama sekali. – Bernama, 5 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen