Upko beri jaminan kekal bersama kerajaan perpaduan


Presiden Upko Ewon Benedick berkata partinya tidak dapat menerima cara Perikatan Nasional berpolitik yang menggunakan sudut pandang sesuatu kaum dan agama sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos 2023.

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) memberi jaminan akan kekal bersama kerajaan perpaduan walau apa juga keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Presidennya Ewon Benedick berkata, gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan perpaduan ketika ini adalah yang terbaik berbanding Perikatan Nasional (PN) bagi membawa negeri Sabah serta Sarawak terus maju bersama kerajaan persekutuan.

Menurutnya, Upko tidak dapat menerima cara PN berpolitik yang menggunakan sudut pandang sesuatu kaum dan agama sahaja sehingga kaum dan agama lain seolah-olah tidak mempunyai tempat.

“Tetapi dalam kerajaan perpaduan, ini semua diberi ruang, sebabnya bagi masyarakat Sabah dan Sarawak menjunjung apa yang ada dalam Perlembagaan, agama Islam agama rasmi, Bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan Yang di-Pertuan Agong adalah raja kita semua.

“Bagaimana Upko boleh sokong satu gagasan politik (PN) yang pandangan partinya tidak membantu Sabah dan Sarawak untuk terus maju bersama rakyat Malaysia yang lain?” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di Restoran Dangau Rimba di Tanjong Karang, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas, Upko yang bertanding atas tiket PH memenangi dua kerusi iaitu Penampang yang dimenangi Ewon dan Tuaran oleh Wilfed Madius Tangau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos ini. – Bernama, 5 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen