PRN: 6 kertas siasatan dibuka 


SEBANYAK enam kertas siasatan dibuka berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) antaranya melibatkan fitnah, khianat dan kesalahan merosakkan bahan kempen calon.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A. Skandaguru berkata kes terbabit dilaporkan di empat negeri semalam dengan Negeri Sembilan sebanyak dua kertas siasatan dibuka diikuti Pulau Pinang, juga dua kertas siasatan, manakala Kedah dan Terengganu masing-masing satu.

“Di Seremban, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan khianat melibatkan kerosakan sebuah khemah bilik gerakan sebuah parti politik yang disimbah air bercampur minyak di Garden Home dan empat bahan kempen (iaitu papan iklan) seorang calon Bebas telah dirosakkan di sekitar Sikamat dan Paroi Jaya.

“Di Butterworth, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 379 KK kerana mencuri melibatkan bahan kempen iaitu bendera dan sepanduk telah tiada di gelanggang bola keranjang Taman Bagan serta sepanduk ceramah telah dikoyakkan oleh seorang individu yang tidak dikenal pasti,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di Terengganu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 435 KK kerana kesalahan khianat dengan api apabila satu poster milik calon bertanding di Marang telah dibakar.

“Di Sik, Kedah kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana kesalahan mengembangkan permusuhan, Seksyen 500 KK kerana fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Ia dikatakan apabila seorang pengadu menonton satu video di Facebook yang memaparkan sedutan ucapan seorang calon sebuah parti politik yang mengandungi gambar pengadu dengan perkataan Makan Kenduri Umno Masuk Neraka. Pengadu mengatakan ia satu fitnah bagi memburukkan namanya sebagai Ketua Pemuda sebuah parti politik di kawasan Sik,” katanya.

Beliau berkata semalam juga polis telah menerima keseluruhan 137 laporan dengan Selangor mencatat angkat tertinggi sebanyak 65 laporan.

“Ia diikuti Kelantan (29), Terengganu (23), Negeri Sembilan (12) dan Pulau Pinang mencatatkan lima laporan manakala Kedah tiga laporan,” katanya.

Skandaguru berkata polis turut meluluskan 385 permit ceramah dengan Kedah sebanyak 87 diikuti Terengganu (75), Kelantan (73), Selangor (67), Negeri Sembilan (48) dan Pulau Pinang (35).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama, 5 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen