KEKAL dengan Pakatan Harapan yang sudah terbukti prestasi kerjanya di Selangor, kata Johari Abdul Ghani.
Naib presiden Umno itu berkata sangat penting untuk Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kestabilan politik dan pemimpin yang cekap kerana ia akan memacu ekonomi seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.
“Perkara ini bukan soal seiring. Kalau lihat sesebuah negeri itu sudah membuktikan bahawa mereka dapat membawa kesinambungan.
“Selangor ini ditadbir BN selama 60 tahun, kemudian kita kalah dan diambil alih oleh PH dan kita tengok mereka (PH) boleh bawa perkara itu.
“BN had governed Selangor for 60 years before we lost and the state was governed by PH. But we can see that PH is also good at developing the state,” katanya dipetik Berita Harian ketika berkempen untuk calon PH di DUN Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.
Juwairiya mencabar Azmin Ali yang juga bekas menteri Selangor bagi merebut salah satu daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri itu.
Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos ini.
“Apa pun dijanjikan atau rangsangan yang akan diberi, paling penting dalam mana-mana negara atau negeri yang ingin ditadbir adalah kestabilan politik. Kalau tak ada kestabilan politik, tak boleh.
“Kedua, mesti ada pemimpin yang kompeten daripada peringkat atas hingga bawah iaitu wakil rakyat. Mesti faham bagaimana pentingnya ada pemimpin dan wakil rakyat yang kompeten.
“Selepas itu, yang lain akan datang automatik. Kalau dua perkara ini tak ada, maka akan jadi masalah. Kalau hari-hari mahu cerita mengenai politik, akan ada masalah besar dalam negara.
“Itu sebabnya kalau tengok negara besar di luar, habis sahaja pilihan raya mereka akan habis (berpolitik). Kita habis pilihan raya, bangun esok pagi ada lagi politik, malah 365 hari cerita politik akhirnya rakyat yang akan berdepan masalah,” katanya lagi. – 5 Ogos, 2023.
Komen