Lebih 70% rakyat Russia percaya, positif prestasi Putin


Kaji selidik mendapati 77.4% rakyat mempercayai Presiden Vladimir Putin manakala 18.4% lagi menyatakan sebaliknya. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2023.

KAJI selidik berasingan daripada Pusat Penyelidikan Pendapat Awam Russia (VCIOM) dan Yayasan Pendapat Awam (FOM) yang diterbitkan semalam mendapati lebih 70% penduduk Russia mempercayai Presiden Vladimir Putin dan menilai prestasi profesionalnya secara positif.

Kaji selidik VCIOM mendapati 77.4% rakyat negara itu mempercayai presiden manakala 18.4% lagi menyatakan sebaliknya. Prestasi profesional Putin juga dipersetujui sebanyak 73.6% responden manakala sebanyak 16.4% tidak bersetuju.

Tinjauan pendapat itu dilakukan dalam kalangan 1,600 orang dewasa Russia dari Mei-Julai melalui temu bual telefon. Dapatan kajian mewakili purata mingguan.

Dalam kaji selidik FOM, 75% responden menyatakan mereka mempercayai Putin manakala 16% lagi mengatakan sebaliknya dengan 9% tidak pasti. Prestasi profesional Putin pula dipersetujui sebanyak 77% dengan 13% tidak menyetujuinya manakala 11% lagi tidak pasti.

Kaji selidik itu dijalankan dalam kalangan 1,500 orang dewasa Russia dari 28-30 Julai melalui temu bual secara persendirian. – Bernama, 5 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen